Idea Inovatif Mengenai Isu Alam Sekitar Muncul Sebagai Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’

Idea Inovatif Mengenai Isu Alam Sekitar Muncul Sebagai Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’ l Samsung Malaysia Electronics mengumumkan pemenang pertandingan ‘Solve for Tomorrow 2020’ yang bermula pada 9 Oktober untuk pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2, dengan pasukan A.I.R. dari SMK Seksyen 10 Kota Damansara merangkul hadiah pertama untuk pendekatan inovatif dan proaktif mereka dalam menangani cabaran utama masyarakat Malaysia mengenai alam sekitar. Manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan EUNOIA dari SMK (P) Sri Aman  dan ketiga pasukan STEM SRI U dari SMK Sri Utama.

Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’


Idea Inovatif Mengenai Isu Alam Sekitar Muncul Sebagai Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’


Setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh selama beberapa minggu, ketiga-tiga finalis tersebut telah mengemukakan idea mereka melalui pembentangan maya pada 16 Disember 2020 kepada panel hakim. Keupayaan mereka untuk menghasilkan penyelesaian inovatif merangkumi tema social dan alam sekitar menggambarkan kemampuan mereka untuk mengadaptasi kaedah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menjadi imaginatif dan yakin dalam membangunkan penyelesaian kepada masalah harian yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia.


Menurut Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics, Dato' Roh Jae Yeol, “Kami kagum dengan pemikiran inovatif ‘outside the box’ yang dipamerkan oleh para peserta. Pelajar-pelajar muda yang luar biasa ini telah membangunkan penyelesaian bermakna kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat tempatan. Melalui pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’, adalah menjadi matlamat kami untuk mempersiapkan generasi hari ini dengan cara untuk berimaginasi dan menerokai kerjaya dalam bidang STEM.” 


Pasukan A.I.R. telah membentangkan penyelesaian mereka berdasarkan tema alam sekitar dan menerima hadiah berupa produk Samsung bernilai sehingga RM16,900 yang akan dianugerahkan kepada sekolah manakala setiap pelajar akan menerima produk Samsung bernilai sehingga RM7,000.


Hadiah tempat kedua dimenangi oleh pasukan EUNOIA yang berkongsi idea mengenai alam sekitar. Mereka menerima produk Samsung bernilai sehingga RM13,500 untuk sekolah mereka manakala setiap pelajar membawa pulang produk Samsung bernilai sehingga RM6,000.  


Hadiah ketiga telah dianugerahkan kepada pasukan STEM SRI U yang menghasilkan idea berdasarkan tema sosial. Pasukan tersebut menerima produk Samsung bernilai sehingga RM10,000 untuk sekolah mereka manakala pelajar menerima produk Samsung bernilai sehingga RM5,400 setiap seorang.


Pasukan dinilai oleh panel juri berdasarkan kebolehlaksanaan idea; kreativiti dan keunikan penyelesaian; penerapan pengetahuan STEM; keberkesanan pembentangan mereka berdasarkan tema yang dipilih.


Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’


Panel juri terdiri daripada Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics, Dato' Roh Jae Yeol; Ketua Pusat STEM Universiti Malaya, Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) Universiti Malaya, Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman; dan Kumpulan Khusus Biodiversiti Akademi Sains Malaysia, Profesor Dato' Dr. Mohamed Shariff Mohamed Din.


Idea-idea Para Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve For Tomorrow 2020’


Team A.I.R. - SMK Seksyen 10 Kota Damansara

Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’

Pasukan A.I.R. yang muncul tempat pertama telah membangunkan penyelesaian untuk mengesan pencemaran air dan mengelakkan gangguan bekalan air, kerana gangguan kerap berlaku terutamanya di Lembah Klang. Oleh kerana kualiti air dipantau secara manual oleh operator bekalan air, menyebabkan pengesanan lewat sekiranya berlaku sebarang pencemaran. Ia seterusnya membawa kepada penutupan loji rawatan air. Ini dapat dielakkan sekiranya operator bekalan air menerima isyarat amaran awal apabila sungai tercemar melebihi had yang dibenarkan, ini akan membolehkan mereka menutup pam dan menyelamatkan loji rawatan. 


Pada masa ini, sensor yang mengesan kualiti air berada di dasar sungai yang boleh mengakibatkan kerosakan sensor dari masa ke semasa dan meningkatkan kos penyelenggaraan. Untuk mengatasinya dan memantau kualiti air dalam masa nyata, pelajar pasukan A.I.R. membangunkan penyelesaian menggunakan STEM.


Melalui penyelesaian berasaskan STEM, sensor dapat memantau dan memindahkan data mengenai kualiti air dengan menggunakan aplikasi Internet of Things (IOT) dan memantaunya dalam masa nyata.  Inovasi ini akan membolehkan operator air menguruskan bekalan air dengan lebih baik dan meminimumkan isu gangguan bekalan air. Pasukan yang terdiri daripada Hafiy Addin bin Hizamel, Nur Auni Faqihah binti Fakhrurrazi, dan Ayuni Illya binti Azmy dan dibimbing oleh cikgu Puan Noraini binti Mohd Zain.



Team EUNOIA - SMK (P) Sri Aman


Pasukan EUNOIA pula membangunkan idea untuk meningkatkan kualiti udara dalaman secara keseluruhan. Hari ini, pencemaran udara merupakan masalah yang besar. Apabila kita bercakap tentang pencemaran, kita sentiasa memikirkan udara di luar, contohnya asap perindustrian, jerebu atau asap kenderaan di jalan raya.  Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA), kualiti udara di rumah kita boleh menjadi lebih teruk berbanding kualiti udara di luar.  Tahap pencemaran udara dalaman selalunya 2 hingga 5 kali lebih tinggi daripada paras diluar . Oleh itu, terdapat keperluan untuk menguruskan kualiti udara dalaman kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penghuni.


Pasukan yang terdiri daripada Ng Xin Ning, Reanya Velaithan dan Nayli Syazwina binti Ezaham di bawah bimbingan guru Puan Bahiyah membangunkan ‘BreatheWall’, dinding hijau untuk kehidupan yang pintar. ‘BreatheWall’ bercirikan cekap ruang yang meningkatkan ketumpatan tumbuhan dalaman, dan mengurangkan pencemaran udara dalaman yang ketara. Ia dilengkapi dengan Light Dependent Resistor (LDR) untuk sistem pencahayaan automatik, sensor kelembapan dan sistem penyiraman automatik. ‘BreatheWall’ menggabungkan pelbagai elemen STEM di samping mengintegrasikan ‘Internet of Things’ (IoT) untuk aplikasi mudah alih bagi tujuan interaksi dan pemantauan. ‘BreatheWall’ direka untuk mengurangkan pencemaran, membersih dan melembapkan; serta mengurangkan suhu persekitaran sambil mengurangkan tahap bunyi bising di tempat-tempat yang sesak.



Team STEM SRI U - SMK Sri Utama


Pemenang tempat ketiga, pasukan STEM SRI U membangunkan idea sebagai alternatif untuk menangani bilangan kes COVID-19 dan bagi pengesanan kontak. Pandemik COVID-19 semasa memerlukan langkah-langkah ketat untuk membendung bilangan kes dan mengesan kontak. Salah satu inisiatif tersebut adalah keperluan untuk mendaftar dengan mengimbas kod QR atau mendaftar secara manual sebelum memasuki sesebuah premis. Ada yang tidak selesa untuk mendaftar secara manual kerana bimbang menggunakan pen yang tercemar, ini juga boleh menimbulkan masalah kepada mereka yang tidak membawa telefon bimbit. Menyedari hal ini, peserta pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’ daripada SMK Sri Utama telah membangunkan aplikasi pengecaman wajah dan pengimbas suhu untuk pemilik perniagaan yang boleh dijadikan alternatif kepada kod QR dan pengimbas suhu sedia ada. 


Aplikasi pengecaman wajah dan pengimbas suhu direka untuk membolehkan pelanggan atau pengunjung mengimbas wajah mereka dan melengkapkan maklumat yang diperlukan kali pertama melalui paparan di premis. Maklumat akan direkodkan di dalam data. Pengimbas suhu pula akan mencatatkan suhu individu melalui wajah mereka. Dengan cara itu maklumat dan suhu direkodkan. Bagi kunjungan berikutnya, pengunjung hanya perlu mengimbas wajah mereka. Ini akan membantu mengelakkan sebarang kontak fizikal dan menangani bilangan kes. Pasukan yang terdiri daripada, Naomi Tan, Kong She Xuan dan Ong Zhi Qing di bawah bimbingan Puan Suryani Mohayiddin, menggunakan penyelesaian STEM untuk menghasilkan aplikasi yang boleh membantu membendung penularan COVID-19.


Dengan sokongan daripada Pusat STEM Universiti Malaya, pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow 2020’ bertujuan merangsang sifat ingin tahu dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk menggunakan kaedah STEM bagi menangani cabaran utama masyarakat Malaysia – melalui platform unik yang memupuk pemikiran inovatif, penyelesaian masalah kreatif dan kerja berpasukan. Peserta diberi pilihan untuk mencadangkan idea mereka dengan memberi tumpuan kepada salah satu daripada empat tema yang diberikan iaitu isu kesihatan, pendidikan, alam sekitar dan sosial.


“Generasi muda hari ini berurusan dengan teknologi pesat berkembang yang sedang mengubah dunia. Saya percaya bahawa pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’ boleh membantu dalam mengukuhkan pengetahuan STEM para pelajar serta menggalakkan golongan muda untuk berfikir secara kreatif, mengenal pasti masalah dan menanganinya melalui idea-idea baharu untuk membina masa depan yang lebih baik untuk semua. Idea dan penyelesaian yang kami terima adalah praktikal dan berkesan dalam menyelesaikan cabaran yang kita hadapi hari ini. Dan saya berharap pertandingan ini akan terus memupuk inovasi dan pemimpin STEM masa depan di negara kita,” tambah Ketua Pusat STEM Universiti Malaya, Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar.

Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’


Untuk info lanjut mengenai ‘Solve for Tomorrow’, sila layari: www.samsung.com/my/solvefortomorrow/ atau http://csr.samsung.com/en/main.do.

Idea Inovatif Mengenai Isu Alam Sekitar Muncul Sebagai Pemenang Pertandingan Samsung ‘Solve for Tomorrow’ Reviewed by Ana Suhana on January 15, 2021 Rating: 5

7 comments:

  1. Tahniah diucapkan kepada semua pasukan..

    ReplyDelete
  2. Wah.. hebatnya, tahniah untuk semua pelajar.. 😊

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah tahniah atas kejayaan mereka.semoga adik2 ni terus success selalu

    ReplyDelete
  4. Hebat betul diaorang ni kan. Memag kreatif dna bijak. Tahniah kepada pemenang. Hadiah lumayan betul

    ReplyDelete
  5. mmg kreatif dan inivatif ciptaan dorg nie.. tahniah diucapkan.. mmg terbaik

    ReplyDelete
  6. Tahniah semua, bijak mereka ni semua. Salute!

    ReplyDelete
  7. Wow congrats to the student from SMK Seksyen 10 Kota Damansara, nanti kita nak tau perkembangan mereka

    ReplyDelete

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih pada yang sudi tinggalkan jejak di sini. InsyaAllah Ana akan membalas kunjungan anda semua ❤

All Rights Reserved by Ana Suhana © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.